ANGGOTA bomba dan polis mengeluarkan mayat seorang lelaki yang ditemui mati di atas siling sebuah rumah di Sungai Petani semalam.
SUNGAI PETANI - Seorang wanita diselubungi perasaan seram apabila hajatnya untuk melihat rumah lamanya disambut dengan lelehan darah pada siling sebelum dia menemui mayat lelaki yang mati akibat terkena renjatan elektrik semalam.
Salina, 20-an, memberitahu, kejadian di Jalan Serampang 12, Taman Ria Jaya di sini itu disedari pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, rumah tersebut telah dikosongkan sejak dua tahun lalu kerana dia sekeluarga berpindah ke tempat lain.
"Meremang bulu tengkuk saya apabila ternampak cecair seperti darah mengalir. Untuk merungkaikan persoalan itu, saya terus memeriksa kawasan sekitar sebelum terhidu bau objek terbakar lalu menghubungi polis," ceritanya.
Tambahnya, anggota polis yang memeriksa sebahagian siling kemudian ternampak kaki manusia pada satu lubang di situ.
Menurut Salina, dia terkejut apabila dimaklumkan ada orang mati di atas siling rumahnya itu.
"Anggota bomba yang sampai pada pukul 12 tengah hari kemudian mengeluarkan mayat lelaki berkenaan dan menemui beberapa gulung dawai elektrik yang telah dipotong," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali memberitahu, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an.
"Kita percaya dia mati selepas terkena renjatan elektrik ketika hendak mencuri dawai di siling rumah tersebut," katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.
Sumber : kosmo
0 luahan:
Post a Comment